Majlis dan Seketariat Tetap Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah PPSMLS telah ditubuhkan melalui persetujuan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak (MMKN) pada 24 Mac 2005. .Majlis yang dipengerusikan oleh YB Datin Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Sumber Manusia dan Latihan) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) dianggotai oleh 17 Ahli Majlis yang terdiri daripada YB. ADUN, Pertubuhan NGO dan pemimpin masyarakat. Unit HRD telah dilantik sebagai Sekretariat Tetap manakala Pengarah Unit HRD adalah Setiausaha kepada Majlis tersebut.


LATAR BELAKANG

Sejak dua dekad yang lalu, Sarawak telah secara beransur-ansur mengalami proses transformasi daripada sebuah negeri yang ekonominya berasaskan sumber kepada ekonomi yang berteraskan perindustrian.

Pengaruh globalisasi yang menggalak dan merancakkan lagi peralihan daripada ekonomi berasaskan pengeluaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, memerlukan perancang-perancang ekonomi mengambil langkah-langkah yang wajar bagi memastikan bahawa peralihan ini berlaku dengan lancar di Sarawak. Dalam konteks ini, perancangan tenaga sumber manusia amat bergantung kepada sumber tenaga yang cukup terlatih, berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta fleksibel. Dengan demikian, prestasi sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan perancangan pembangunan dan usaha pelaksanaan secara menyeluruh. Dalam era globalisasi, kemampuan Sarawak untuk melalui proses peralihan kepada ekonomi yang berteraskan ilmu pengetahuan serta mempertahankan pembangunan ekonominya, amat bergantung kuat kepada kualiti sumber manusia.

Mengikut Laporan Perangkaan (1999) dari Jabatan Statistik melaporkan jumlah penduduk di negeri ini adalah seramai 2.67 juta. Daripada jumlah tersebut, 75.9% merupakan para pelajar, sama ada di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah. Dalam konteks ini, peratus pelajar lepasan sekolah terutama di peringkat sekolah menengah yang tidak memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi selepas keputusan peperiksaan SPM atau STPM merupakan isu yang perlu ditangani secara serius.

Isu pelajar lepasan sekolah jika tidak diambil berat boleh menyumbang kepada tenaga kerja yang berpendidikan rendah dan kurang berkemahiran di Sarawak berbanding dengan kadar nasional. Mengikut Jabatan Satistik (1998), 14.5% tenaga kerja di Sarawak tidak mendapat pendidikan formal, 30.9% berpendidikan sekolah rendah, 47.2% berpendidikan sekolah menengah dan hanya 7.4% berpendidikan tinggi. Tahap pencapaian pendidikan yang rendah akibat daripada pelajar lepasan sekolah yang kurang diketahui pasti menjejaskan kemampuan sistem pendidikan untuk menghasilkan sumber tenaga kerja yang cukup terlatih, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi .

Kewujudan golongan pelajar lepasan sekolah di peringkat sekolah menengah selepas peperiksaan SPM dan STPM perlu diberi perhatian kerana ketiadaan maklumat yang terperinci mengenai kumpulan ini. Selain itu, mereka boleh memberi kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi Negeri kerana menyumbang kepada tenaga manusia yang mengganggur, tidak produktif, berkemahiran rendah, kemiskinan, jenayah juvenil dan pelbagai masalah sosial lain. Masalah-masalah ini pun, kalau tidak ditangani secara serius akan menjejaskan segala usaha yang sedang dilaksanakan untuk membangunkan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

ISU PELAJAR LEPASAN SEKOLAH

Isu pelajar lepasan sekolah perlu diberi perhatian kerana ianya satu masalah yang kritikal dari segi perspektif ekonomi dan sumber manusia. Justeru itu, Kerajaan Negeri perlu memberi perhatian kepada isu pembangunan luar bandar dan usaha menghapus kemiskinan memandangkan kadar lepasan sekolah yang lebih tinggi di luar bandar dan di kawasan yang jauh dari bandar.

Pelajar lepasan sekolah jika tidak diberi perhatian akan menimbulkan kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri seperti berikut:
  • Kadar pengangguran tinggi
  • Tidak produktif
  • Tahap kemahiran rendah
  • Kadar kemiskinan meningkat
  • Penglibatan dengan jenayah juvenil
  • Penglibatan dengan pelbagai gejala sosial

Masalah pelajar lepasan sekolah juga perlu diberi perhatian yang serius supaya ia tidak menjadi halangan kepada penghasilan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Ini adalah penting untuk mengukuhkan persaingan Negeri Sarawak di pasaran serantau dan global selain mencapai objektif untuk menghapus kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup penduduk terutamanya penduduk di luar bandar.

Untuk mencapai status Negeri yang maju pada tahun 2005, Sarawak memerlukan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi lebih-lebih lagi untuk memajukan sektor perindustrian dan sektor pertanian moden.

MAGNITUD PELAJAR LEPASAN SEKOLAH


Adalah diperhatikan bahawa bilangan pelajar lepasan sekolah menengah selepas SPM atau STPM adalah tinggi terutamanya di kawasan persisiran pantai dan di kawasan pendalaman. Ini berlaku disebabkan kurang mendapat maklumat kerjaya disamping tidak memiliki kelayakan yang mencukupi ataupun kerana kemiskinan dan kurang berminat untuk memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi di Sarawak mahupun di Semenanjung Malaysia.

FAKTOR-FAKTOR PELAJAR LEPASAN SEKOLAH


Pelajar lepasan sekolah yang memiliki keputusan yang tidak cemerlang mahu pun yang gagal di peringkat SPM dan STPM, mengalami kesukaran untuk memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi tempatan kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan bagi program-program pengajian yang ditawarkan;

Faktor lain yang mungkin menjadi penyebab kepada pelajar lepasan sekolah dari kumpulan ini tidak berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka adalah kerana sistem kuota yang menjadi penentu dan menghadkan kemasukkan pelajar mengikut keutamaan pilihan di IPTA atau IPTS;

Pelajar lepasan sekolah yang tidak berhaluan di peringkat SPM dan STPM berlaku disebabkan oleh faktor sosial, ekonomi dan budaya keluarga yang merangkumi perkara-perkara berikut :-

  • keluarga yang besar;
  • kekurangan role model dalam keluarga dan komuniti;
  • tahap pendidikan ibubapa atau penjaga yang rendah;
  • ibubapa tidak mampu mengawal pelajar;
  • status ekonomi keluarga yang rendah; dan
  • pengaruh rakan sebaya.

Selain itu, terdapat juga keadaan dimana pelajar lepasan sekolah yang telah memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi tidak mendapat tawaran kursus pilihan utama mereka tetapi mendapat kursus-kursus lain.Perkara ini secara tidak langsung mendorong pelajar untuk menolak tawaran meneruskan pengajian.

Terdapat juga keadaan dimana pelajar dari kumpulan ini yang tidak berminat untuk memasuki mana-mana IPTA/IPTS disebabkan melihat golongan siswa-siswazah yang masih menganggur walaupun telah berjaya memperolehi ijazah disamping faktor kemiskinan.

STRATEGI

Bagi menangani masalah keciciran pelajar lepasan sekolah, beberapa strategi yang sedang dan telah dibuat oleh Sektretariat Tetap MPSMLS ialah:

  • Strategi pertama, adalah dengan membangunkan satu sistem yang efektif bagi memantau bilangan pelajar lepasan sekolah yang berpotensi untuk diberi pendidikan berbentuk kemahiran teknikal atau yang setaraf dengannya. Petunjuk-petunjuk yang boleh digunakan adalah petunjuk akademik, lokaliti, kemudahan fasarana, dan taraf sosio-ekonomi keluarga. Untuk strategi ini, satu pangkalan data Sistem Maklumat Pelajar Lepasan Sekolah telah dibina untuk mendapatkan bilangan sebenar pelajar lepasan sekolah yang ada di Negeri Sarawak.
  • Strategi kedua adalah dengan membangunkan satu mekanisma bagi memantau dan merancang program-program yang dapat membantu pelajar-pelajar merancang masa masa depan mereka. Kurikulum dan kaedah mengajar yang sedia ada perlu dikaji semula supaya ianya lebih bersifat mesra pelajar. Tahap profesionalisma guru juga perlu dikaji semula. Kemudahan infrastruktur sekolah dan hostel perlu dipertingkatkan. Di bawah strategi ini juga, program pendidikan, kempen kesedaran, tabung khas untuk pelajar miskin dan penubuhan pra-sekolah telah dirangka.
  • Strategi ketiga adalah membangunkan program kuratif iaitu dengan berkerjasama dengan sektor swasta dan pertubuhan NGO. Kerjasama ini akan dapat merangsang tahap pendidikan di Sarawak dan dapat menggunakan semua sumber yang ada untuk pembangunan negeri. Penubuhan kolej komuniti dengan sektor swasta dan NGO perlu bagi memberi peluang kedua kepada golongan pelajar lepasan sekolah yang tercicir untuk meneruskan latihan dan pendidikan.
  • Strategi keempat ialah melalu analisis keperluan dari perspektif:

    • Perspektif pelajar
    • Perspektif Kerajaan (keperluan sumber manusia);dan
    • Menserasikan keperluan dan tawaran pasaran tenaga kerja sumber manusia

STRUKTUR MAJLIS DAN SEKRETARIAT

Bagi memastikan Majlis dan Sekretariat ini berfungsi dengan efektif, Satu Struktur telah dibuat yang bertindak untuk mengaris dasar dan halatuju majlis di samping menyelaras semua agensi yang terlibat dalam menjalankan fungsi berkaitan dengan isu pelajar lepasan sekolah di agensi masing-masing. Di bawah struktur ini, Pengarah HRDQ akan bertindak sebagai Sekretariat majlis manakala di peringkat sekretariat urus tadbir organisasi yang diketuai oleh seorang Setiusaha Eksekutif, dibantu oleh tiga ketua sekyen. Gabungan struktur ini akan mengubal polisi dan merangka strategi berhubung dengan Pembangunan Sumber Manusia termasuk pelajar lepasan sekolah di Sarawak.

FUNGSI-FUNGSI MAJLIS DAN SEKRETARIAT

Beberapa fungsi telah dikenalpasti bagi memastikan Majlis dan Sekretariat ini berfungsi dengan lebih efektif. Fungsi-fungsi tersebut adalah untuk :

  • Mendapatkan maklumat-maklumat mengenai pelajar lepasan sekolah terutama di peringkat sekolah menengah tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas;
  • Mengkoordinasi pengumpulan maklumat-maklumat dari pelbagai agensi mengenai pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas;
  • Membincangkan isu-isu berhubung dengan latihan dan pendidikan bagi pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas;
  • Merangka pelan tindakan bagi mengatasi isu-isu pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas
  • Merancang dan membangunkan polisi berhubung dengan latihan dan pendidikan bagi pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas;
  • Mengkoordinasi perancangan dan pelaksanaan latihan dan pendidikan pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas
  • Menyebarkan maklumat mengenai latihan dan pendidikan di Sarawak;
  • Menganalisa tren populasi berhubung dengan pelajar lepasan sekolah dan di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas; dan
  • Mencadangkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada pelajar lepasan sekolah di peringkat tingkatan 5 dan tingkatan 6 Atas

Peranan Sekretariat Tetap diwujudkan sebagai ‘think-tank’ untuk mengkaji dan merancang strategi dan isu-isu semasa berkaitan pelajar lepasan sekolah.

Fungsi-fungsi Sekretariat Tetap adalah seperti berikut:

Setiausaha Eksekutif

  • Untuk membangun, mengemaskini dan memantau data-data pelajar lepasan sekolah negeri;
  • Untuk melaksanakan kajian berkaitan dengan isu-isu pelajar lepasan sekolah;

    • Untuk menyediakan kertas kerja mengenai perancangan pelajar lepasan sekolah untuk diperakukan oleh Majlis;
    • Untuk mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam usaha mempromosikan aktiviti-aktiviti pelajar lepasan sekolah;
    • Untuk memantau dan memastikan perlaksanaan dasar-dasar pelajar lepasan sekolah oleh agensi-agensi yang berkaitan;
    • Untuk melaksanakan mana-mana tugasan yang diarah oleh Majlis dari masa ke semasa.

Perancangan dan Penyelidikan

  • Membincangkan perancangan aktiviti program pelajar lepasan sekolah di peringkat Negeri Sarawak.

      • Mengenalpasti dan membangunkan polisi dan strategi bagi meningkatkan pelajar lepasan sekolah di Negeri Sarawak.
      • Menyelaras perancangan dan pelaksanaan program-program pelajar lepasan sekolah.
      • Mencadangkan dan menyelaras pelbagai program Vokasional dan latihan teknikal.
      • Memantau dan menyelaras aktiviti dari pelbagai agensi samada agensi kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat dalam pelajar lepasan sekolah.
      • Mencadangkan aktiviti R&D berkaitan, program latihan, Pendidikan dan Program Pembangunan pelajar lepasan sekolah di Sarawak.
      • Merancang, melaksana dan/atau memantau program pelajar lepasan sekolah di peringkat Negeri Sarawak.

Latihan dan Pembangunan

  • Mengenalpasti maklumat yang diperlukan untuk merancang Pembangunan pelajar lepasan sekolah di peringkat Negeri Sarawak.

      • Menyelaras maklumat yang dikumpul dari pelbagai agensi yang berkaitan dengan permintaan dan penawaran khususnya pelajar lepasan sekolah.
      • Mencadangkan kajian atau strategi yang perlu dijalankan bagi pembangunan pelajar lepasan sekolah di Negeri Sarawak.
      • Menganalisis trend, struktur populasi dan memantau program-program yang berkaitan dengan pelajar lepasan sekolah Negeri Sarawak
      • Menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan aktiviti dan program-program pelajar lepasan sekolah.

Perkhidmatan Sokongan

  • Membantu Setiausaha Eksekutif menyelaras dan memantau pelaksanaan keputusan Majlis.

      • Memberi khidmat pentadbiran am dan kewangan .
      • Membangun, memantau dan mengurus inventori pejabat .
      • Mengurus serta menyelaras registri.
      • Memastikan persekitaran pejabat sentiasa bersih, teratur dan selamat.

Unit Pembangunan Sumber Manusia & Kualiti
Jabatan Ketua Menteri
Tingkat 12, Wisma Bapa Malaysia
Petra Jaya, 93502 Kuching
Sarawak, Malaysia



6082 - 492 452
6082 - 492 456



6082 - 313 650